Artikel

Adakah MAVCOM Tenat?

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kini menjadi perhatian, susulan sebuah kenyataan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir berkata kerajaan sedang meneliti fungsi semua institusi mereka.

Keputusan untuk membubarkan MAVCOM belum dibuat kerana, menurut Tun Mahathir, mereka masih mengkaji institusi ini ‘yang telah terlibat dengan kerajaan sebelum ini’.

Perkara ini dikeruhkan lagi apabila AirAsia Group Berhad berkata MAVCOM telah menghampakan rakyat Malaysia.

Melalui sebuah kenyataan, AirAsia berkata tanggungjawab MAVCOM untuk mempertahankan hak pengguna penerbangan Malaysia tidak tercapai.

Ini susulan beberapa isu yang melibatkan AirAsia dengan Malaysia Airports, dan juga MAVCOM.

Perkara terbaharu melibatkan pihak-pihak di atas adalah isu pengguna di KLIA2 di bahagian imigresen. AirAsia mendakwa pengguna terpaksa menunggu dengan lama di tempat imigresen kerana tidak cukup kaunter.

MAVCOM mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mohon AirAsia berikan bukti tentang isu ini, dan berkata AirAsia tidak memberikan apa-apa bukti apabila diminta.

AirAsia pula mendakwa, melalui CEO Riad Asmat berkata, AirAsia tidak perlu berikan bukti kerana ini adalah tanggungjawab MAVCOM. Riad menggunakan isu ini sebagai satu lagi contoh di mana MAVCOM telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya.