Artikel

KPDNHEP: 45,000 Penerima BSH Yang Layak Menerima Bantuan PSP Tidak Memiliki Akaun Bank

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – Hampir 45,000 daripada 2.86 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) merupakan golongan B40 yang layak menerima bantuan Program Subsidi Petrol (PSP) tidak memiliki akaun bank bagi penyaluran bantuan tersebut.

Menerusi laporan Bernama, pihak KPDNHEP akan membantu dengan mengadakan perbincangan bersama institut perbankan tempatan untuk membuka akaun kepada pihak berkenaan.

“Kita akan membantu dan akan berbincang dengan bank-bank tempatan, apakah kita boleh membuka akaun bank yang bersifat zero balance. Di mana mereka hanya memiliki nombor akaun sahaja, sekiranya pihak bank dapat membantu, itu adalah lebih baik,”

Jelasnya lagi, melalui program itu kerajaan akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima bagi setiap 4 bulan sekali. 

“Pembayarannya akan dilakukan 4 bulan sekali , jadi kita laksanakan Januari, Februari, Mac dan pada bulan April dana tersebut akan disalurkan.”

Sebelum ini Saifuddin telah mengumumkan penerima BSH yang memiliki kereta 1600cc dan ke bawah serta kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun dan ke atas layak menerima bantuan PSP. Manakala, mereka yang memliki motosikal 150cc dan ke bawah serta  motosikal melebihi 150cc yang berusia 7 tahun dan ke atas. Kadar subsidi tersebut adalah berjumlah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan untuk motosikal. Penyaluran ini membabitkan 2.86 juta penerima.

Program tersebut bagaimanapun tidak melibatkan pengguna Sabah, Sarawak dan Labuan kerana mereka menikmati subsidi petrol secara pukal iaitu pada harga runcit semasa RM2.8 sen seliter. 

Untuk makluman pengguna, PSP akan dilaksanakan bermula 1 januari 2020 nanti.