Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perlantikan Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu syarikat itu, berkuatkuasa hari ini.
Kamarulzaman, 56, menggantikan penyandang jawatan sebelum ini, Mohd Rani Hisham Samsudin, yang menamatkan kontrak perkhidmatannya 15 Sept lepas, setelah dua tahun memegang jawatan itu.
Kamarulzaman memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Texas di Austin, Amerika Syarikat dan seterusnya ditauliahkan sebagai jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1985.
Beliau menjawat pelbagai jawatan sepanjang 21 tahun dalam TUDM serta terlibat dalam program pertukaran pegawai bersama Tentera Udara Diraja Australia.
Selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan, Kamarulzaman menyertai Malaysian-Industry Government Group for High-Technology (MIGHT) selama 13 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Naib Presiden Kanan.