Nadiem Makarim, pengasas bersama Gojek telah meletak jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat unicorn pertama Indonesia kerana beliau akan menjadi ahli kabinet Indonesia.
Perkara ini diumumkan oleh syarikat itu pada pagi Isnin.
Pelantikan Nadiem sebagai ahli kabinet selaras dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Jokowi sebelum ini di mana beliau menyatakan bahawa Indonesia perlu lebih ramai golongan profesional dalam barisan kepimpinan negara itu.
Jokowi mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia pada pagi Isnin, dan sejurus selepas itu, mengumumkan barisan kabinet beliau yang baharu.
Nadiem berasal dari keluarga yang berperanan besar dalam pembentukan Indonesia. Datuk beliau merupakan delegasi yang berunding dengan Belanda untuk kemerdekaan Indonesia pada tahun 1949 di The Hague.
Nadiem memulakan perniagaan Gojek pada 2010 di Jakarta. Kini syarikat itu telah dinilai lebih AS$10 bilion dan diisytiharkan sebagai ‘syarikat unicorn’ pertama yang berasal dari Indonesia.