Artikel

CIMB Thai Umum CEO Baharu, Dilaporkan Bekas CEO Terlibat Dengan Kes Penipuan

Kumpulan CIMB hari ini mengumumkan Adisorn Sermchaiwong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu CIMB Thai.

Beliau juga akan menyandang jawatan Presiden bagi entiti perbankan itu.

Adisorn mengambil alih jawatan itu dari Kittiphun Anutarasoti yang tidak akan meneruskan peranan beliau di CIMB apabila tamat kontrak beliau.

Adisorn telah bersama CIMB selama tujuh tahun. Beliau telah memegang beberapa portfolio di CIMB, termasuk di asset management, wealth management, perbankan runcit, dan saluran perbankan.

Beliau juga mempunyai pengalaman perbankan dalam pasaran setempat dan juga serantau.

Sebelum ini, Adisorn memegang jawatan pemangku Presiden/CEO CIMB Thai.

Sewaktu memulakan kariernya di CIMB, beliau dilantik sebagai Ketua Perbankan Runcit CIMB Thai.

Ketua CIMB Thai sebelum ini – Kittiphun – telah mengambil cuti selama beberapa bulan kebelakangan ini, menyatakan bahawa beliau ‘sedang cuti kerana sebab-sebab peribadi’.

Sebelum ini, Kittiphun telah dilaporkan masih disiasat pihak berkuasa berkenaan isu penipuan semasa beliau menerajui syarikat sebelum ini, iaitu Krungthai Bank.

Pada bulan Mac 2019, Omar Siddiq, Ketua Pegawai Operasi CIMB telah mengambil alih tanggungjawab CEO CIMB Thai untuk sementara waktu.