Khidmat penstriman Disney, yang diberi nama Disney+ (Disney Plus), akan dilancarkan pada 12 November 2019.
Buat masa sekarang, harga langganan Disney+ adalah RM29.29 (AS$7) sebulan, atau RM292.88 (AS$70) setahun.
Sebagai perbandingan, Apple TV+ adalah RM20.92 (AS$5) sebulan atau RM251.04 (AS$60) setahun. Tetapi Apple TV+ akan hanya memiliki 11 rancangan, tetapi kesemuanya adalah unik dan dihasilkan oleh Apple tersendiri.
Disney+ pula akan melancarkan perkhidmatan mereka dengan katalog yang jauh lebih besar dari Apple TV+.
Kandungan buat masa sekarang, terdapat 18 filem Pixar, 13 filem animasi klasik, kesemua filem Star Wars, beberapa filem Marvel seperti Black Panther dan Captain Marvel; 250 jam National Geographic, 100 filem Disney original klasik; dan sembilan filem eksklusif Disney. Ini tidak termasuk 660 episod The Simpsons.
Kelihatan kuasa harta intelek (IP) Disney tersergam gah di majlis pelancaran ini.
Disney+ akan dilancarkan di Amerika Utara, Eropah Barat, dan beberapa negara Asia di awal tahun 2020. Pasaran Malaysia masih lagi tidak pasti sama ada tergolong pada pasaran pelancaran awal ini.
Walaupun begitu, Disney menyatakan bahawa kebanyakan negara akan memiliki Disney+ menjelang tahun 2021.
Disney juga dikatakan akan menggabungkan perkhidmatan Disney+ dengan beberapa produk lain, seperti ESPN+ dan Hulu.
Disney+ adalah bebas iklan. Manakala ESPN+ memiliki iklan dan Hulu pula memberikan perkhidmatan bebas iklan dengan kadar yang lebih kepada pengguna. Jika pengguna enggan membayar lebih, maka Hulu turut memiliki iklan.