Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong – sejumlah 80,625 kes kebankrapan telah difailkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dari tahun 2015 hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 7,871 kes direkodkan sehingga tahun ini.
“Sebanyak 18,457 kes muflis telah direkodkan pada tahun 2015, manakala 19,588 kes pada tahun 2016. Sejumlah 18,227 kes dicatatkan pada 2017 dan 16,482 kes tahun lepas,” katanya sewaktu di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Liew berkata kerajaan sedang menjalankan pelbagai langkah untuk mengurangkan kes muflis di negara ini, termasuk program yang dianjurkan oleh Jabatan Insolvensi untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu muflis dan kawalan kewangan.
Malah, melalui Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) – kerajaan turut menganjurkan program melibatkan perancangan kewangan bagi menangani isu bankrapĀ serta kaedah penggunaan wang dalam kalangan pengguna.