Artikel

Dedah Nombor Akaun Bank, Laman Web KPDNHEP Digantung Operasi Sementara Waktu

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil keputusan untuk mengantungkan operasi laman web mikro Program Subsidi Petrol (PSP) yang dilancarkan baru-baru ini. Penangguhan laman mikro ini selepas portal teknologi terbabit dikatakan mendedahkan butiran akaun bank pengguna. 

Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP, Yunus Tasim – menyatakan pihak kementerian peka akan permasalahan ini dan sedang menyiasat perkara tersebut.

“Sebaik sahaja kami memperolehi makluman tersebut, kami mengambil keputusan untuk menunda laman web tersebut kerana kita tidak mahu sebarang risiko terjadi lagi. Malah, kami juga tidak mahu pengguna berasa ragu akan sistem kami,” katanya.

Beliau turut menyatakan, sebaik sahaja isu tersebut diperbetulkan, kementerian akan memulihkan kembali sistem PSP.

Isu ini mula timbul apabila pihak Lowyat melaporkan bahawa sebaik sahaja nombor MyKad individu dimasukkan ke dalam portal, ia akan mendedahkan empat digit terakhir nombor akaun bank pengguna.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila melihat pada bahagian kod sumber, nombor akaun pengguna telah didedahkan sepenuhnya.

Yunus turut berkata kementerian akan berhubung dengan pihak Lowyat untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pihak KPDNHEP mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna atas kesabaran dan maklum balas yang diberikan kepada mereka. 

Untuk maklumat lanjut, pihaknya akan mengemaskini dari semasa ke semasa.