Belanjawan 2020 mencerminkan hasrat kerajaan untuk memacu pertumbuhan saksama dan landskap dihubung secara digital bagi kemakmuran bersama, kata Kumpulan edotco.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suresh Sidhu berkata syarikat itu memuji komitmen kerajaan untuk mempercepatkan peralihan Malaysia ke era 5G melalui Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.
“Kesalinghubungan adalah kunci untuk memastikan peralihan lancar kepada 5G dan menggerakkan infrastruktur yang dikongsi adalah penting dalam usaha itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Bagi merealisasikan potensi penuh peralihan 5G yang lancar, kita perlu terlebih dahulu menilai bagaimana ekosistem dan peserta terlibat antara satu sama lain; memberi perhatian terhadap penyepaduan infrastruktur untuk menyokong peningkatan kapasiti; dan ketiga, menggariskan dasar kebangsaan yang betul untuk spektrum, perkongsian dan tapak.
“Adalah penting bahawa setiap pemain telekomunikasi berfikiran yang sama bagi memastikan kejayaan pelancaran 5G.
“Pengendali rangkaian mudah alih, kerajaan, pengawal selia, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta perlu bekerjasama,” katanya.
Suresh juga berharap sebahagian daripada peruntukan belanjawan itu akan disalurkan ke arah membantu masyarakat kurang bernasib baik untuk beralih kepada 5G supaya semua sektor di Malaysia maju pada kadar yang sama.
“Kami menantikan butiran mengenai bagaimana pemain tempatan dalam industri boleh menjadi memainkan peranan merapatkan jurang digital tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua dasar awam Asia Tenggara Airbnb Mich Goh berkata Belanjawan 2020 menyediakan satu siri pelaburan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan industri pelancongan di Malaysia.
“Kami menyambut baik peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bagi kempen Melawat Malaysia 2020, dan tumpuan berterusan untuk mempromosikan “Malaysia Truly Asia” sebagai sebahagian daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
Goh berkata dengan jangkaan peningkatan kedatangan pelancong tahun depan, keutamaan bagi sektor pelancongan Malaysia, kerajaan mesti memastikan sektor itu berkembang secara bertanggungjawab dan mampan.
“Di Airbnb, kami percaya model berasaskan komuniti kami mempromosikan pengembaraan yang bertanggungjawab dan menawarkan alternatif yang mampan untuk pelancong,” katanya.
Beliau berkata Airbnb komited untuk melakukan segala yang dapat dilakukan untuk menyokong usaha pihak berkuasa tempatan dan meningkatkan sektor pelancongan Malaysia secara mampan untuk mencapai sasaran 30 juta ketibaan pelancong dan sebanyak RM100 bilion perolehan pelancongan melalui penginapan uniknya, pengalaman dan tuan rumah tempatan yang mesra.