Suruhanjaya Sekuriti (SC) memuji langkah yang digariskan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2020 untuk mempercepatkan ekonomi digital dan peralihan negara ke dalam aktiviti dengan nilai tambah yang lebih tinggi, di samping memastikan bahawa tiada rakyat Malaysia yang masih tercicir.
Pelbagai langkah yang diperkenalkan dilihat mampu membangunkan ekosistem pembiayaan negara untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada ekonomi yang lebih luas.
“Ini termasuk peruntukan bagi meningkatkan pembiayaan berasaskan pasaran inovatif sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, usaha komprehensif bagi meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam yang terkemuka dan Skim Persaraan Swasta,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.
SC akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan semua pihak yang berkaitan untuk memastikan pasaran modal Malaysia berada pada kedudukan yang baik bagi memudahkan pencapaian hasil yang dikehendaki, terutama dalam penyediaan pembiayaan dan modal yang cekap yang diperlukan untuk ekonomi.