Artikel

PLUS: Kesesakan Plaza Tol Wilayah Tengah Berkurangan Sebanyak 48.2%

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah berjaya mengurangkan kesesakan trafik di kesemua lorong keluar di plaza tol Wilayah Tengah sebanyak 48.2 peratus setelah melaksanakan inisiatif Tiada Tambah Nilai di plaza tol sejak 1 Ogos 2019 yang lalu.

Bermula 2 bulan lalu, PLUS telah menguatkuasakan Tiada Tambah Nilai pada lorong keluar. Sehubungan itu, ia menyaksikan pengurangan yang ketara pada bilangan pengguna lebuh raya yang memiliki baki rendah atau baki tidak mencukupi.

 

 

Pada 30 September 2019, PLUS telah berjaya merekodkan pengurangan jumlah kenderaan yang beratur untuk menambah nilai di plaza tol sebanyak 48.2 peratus, dengan penurunan bilangan kenderaan kepada 22,000 kenderaan.

Langkah PLUS tidak menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol juga bertujuan untuk menjamin keselamatan pembantu perkhidmatan pelanggan PLUS kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat melanggar pondok tol kerap berlaku sejak kebelakangan ini. 

Oleh itu, pelanggan PLUS dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan memastikan bahawa kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang cukup sebelum memasuki lebuh raya.

Lebih 10,000 pusat tambah nilai yang disediakan pada seluruh negara termasuk mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka, kawasan rehat dan rawat dan pusat membeli-belah.

PLUS juga akan memperluaskan inisiatif ini di seluruh rangkaian lebuh di bawah seliaannya di utara dan selatan dalam masa yang terdekat.