Maju Holdings telah memperbaiki cadangan mereka untuk membeli PLUS.
Menurut Maju, mereka telah menghantar satu cadangan baharu kepada kerajaan untuk membeli PLUS.
Antara intipati cadangan terbaharu ini, adalah menawarkan diskaun dan pemotongan harga tol diantara 25% dan 36% kepada pengguna PLUS.
Jika Maju Holdings dibenarkan untuk membeli PLUS, pemotongan harga tol ini akan bernilai berbilion ringgit. Akan tetapi, Maju Holdings secara jelas mengatakan bahawa mereka tidak akan menuntut apa-apa tebusan kewangan dari kerajaan susulan pemotongan harga tol ini.
Selain itu, Maju Holdings mendakwa bahawa kerajaan masih hutang PLUS sebanyak RM2.7 bilion pampasan tol. Kerajaan sehingga kini masih belum membuat bayaran RM2.7 bilion kepada PLUS.
Maju mendakwa, sekiranya mereka mendapat kelulusan untuk membeli PLUS, mereka tidak akan menuntut liabiliti ini dari kerajaan. Ini bermakna, sekiranya Maju mengambil-alih pemilikan tol PLUS, kerajaan tidak lagi berhutang RM2.7 bilion kepada PLUS.
Selain itu, nilai perusahaan (Enterprise Value) pembelian PLUS ini dari Maju bernilai RM34.9 bilion. Ini termasuk pembiayaan kesemua liabiliti PLUS yang dikatakan bernilai sekitar RM30 bilion.
PLUS dimiliki 51% oleh Khazanah, dan 49% oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).