Artikel

Operasi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad Kini Ditutup

Hari ini, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah mengeluarkan kenyataan rasmi iaitu Pemberhentian Operasi Syarikat Utusan Melayu Berhad.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mengukuhkan kedudukan Utusan pada arena media. Antara langkah yang diambil adalah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), di mana ia menyaksikan lebih 700 kakitangan Utusan melepaskan jawatan mereka. 

Notis ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilaksanakan bagi menjamin kelangsungan syarikat.

Utusan telah melakukan pelbagai usaha dengan penjualan aset untuk menampung modal serta meningkatkan aliran tunai. Namun aliran tunai mereka dilihat semakin meruncing, serta nilai tunggakan hutang mereka dilihat semakin tenat. 

Malah, syarikat Utusan kini berhadapan dengan pelbagai tindakan undang-undang berhubung isu hutang mereka. Sehubungan itu, pihak lembaga pengarah Utusan telah meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang dan telah melantik UHY Advisor (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim.

Pihak Kementerian akan mengambil tindakan sewajarnya dengan pelikuidasi interim berdasarkan undang-undang semasa.

Inisiatif ini terpaksa diambil pihak lembaga kerana berpendapat syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan operasi perniagaan mereka.

Sehubungan dengan itu, tarikh 9 Oktober 2019 adalah hari terakhir bagi operasi kerja kakitangan syarikat dan 31 Oktober 2019 merupakan tarikh akhir perkhidmatan mereka dikuatkuasakan. 

Maklumat dan sebarang perkembangan lain berhubung isu ini akan dikongsikan dari masa ke semasa.