Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad – menyatakan hasil kerajaan dibawah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (Sales and Service Tax, SST) lebih menguntungkan berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurut pelaporan The Star – persoalan ini mula timbul berkenaan bagaimana kerajaan akan menyelesaikan kekurangan RM22 bilion pada pendapatan cukai selepas SST diperkenalkan semula untuk menggantikan GST pada tahun lalu.
Tun mengakui sudah pasti bagi setiap sistem percukaian terdapat kekurangannya, namun ia tidak membawa maksud bahawa pelaksanaan SST ini adalah satu kesilapan.
“Ini kerana apabila cukai baru diperkenalkan, terdapat kekurangan disebabkan oleh pelarasan yang dibuat oleh pegawai dan pembayar cukai.
“Saya yakin pengumpulan di bawah SST akan melepasi di bawah GST pada tahun-tahun akan datang ,” kata Tun di Dewan Rakyat hari ini.
Tun turut menjelaskan pengenalan SST bukanlah sebagai cara untuk mengekang pengelakan cukai. Di mana apa yang sering berlaku adalah terdapat cukai berganda di bawah GST, yang mengakibatkan rakyat dan peniaga tidak senang akan kutipannya.
Kerajaan yakin SST akan perolehi pulangan yang tinggi berbanding dengan GST.
Manakala, Institusi Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pula telah mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan semula GST pada Belanjawan 2020 dengan kadar yang lebih rendah sebanyak 3%.
Walau bagaimanapun, buat masa ini Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa tidak ada rancangan untuk kembali ke GST.