Prestasi harga getah mula menujukkan kemerosotan ketara bermula pada suku tahun ketiga 2019.
Harga getah jenis Standard Malaysian Rubber (SMR 20) untuk suku ketiga tahun ini telah merosot sebanyak 10% kepada RM5.59 sekilogram, berbanding suku kedua tahun ini.
Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata, kemerosotan harga getah adalah dipengaruhi oleh permintaan getah yang perlahan berikutan ketegangan perdagangan yang berlarutan di antara Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia dan China yang perlahan.
Penurunan harga getah di pasaran dunia berterusan pada awal Oktober 2019 dipengaruhi oleh sentimen negatif di pasaran China, iaitu pengguna getah asli terbesar dunia.
Sepertimana dilaporkan oleh media antarabangsa baru-baru ini, sebuah syarikat pedagang utama di China yang mengimport sebanyak 1.6 juta tan getah setahun dari negara- negara pengeluar utama getah telah memberhentikan pembelian getah dan juga menamatkan kesemua kontrak perdagangan getah yang masih belum dilaksanakan.
Situasi ini memberi kesan kepada pasaran getah dunia termasuk Malaysia di mana harga getah SMR 20 jatuh ke paras terendah pada tahun 2019 iaitu RM5.16 sekilogram pada 4 Oktober 2019.
Jika dibandingkan dengan harga getah SMR 20 bagi separuh tahun 2019, terdapat peningkatan harga sebanyak 9.5% kepada RM6.21 sekilogram untuk suku kedua, berbanding RM5.67 bagi suku pertama.
LGM berkata peningkatan ini disumbangkan oleh faktor kekurangan bekalan getah disebabkan oleh musim daun luruh, penyakit kulat (Pestalotiopsis disease) di beberapa kawasan ladang utama di Indonesia serta pelaksanaan pemotongan eksport getah oleh Thailand, Indonesia dan Malaysia di bawah kerangka International Tripartite Rubber Council (ITRC).