Artikel

Abang Johari: Hanya Petronas Masih Tidak Melangsaikan Bayaran Duti Eksport Minyak Ke Sarawak

Shell, Murphy Oil, dan satu lagi syarikat sub-kontraktor minyak telah membayar duti eksport 5% kepada kerajaan Sarawak.

Berikut dakwaan yang dibuat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, ketika ditanya di Sibu pada Ahad, 6 Oktober.

“Hanya Petronas sahaja yang masih belum membayar Duti Eksport 5%,” kata beliau.

Beliau berucap kepada media semalam kerana menghadiri sebuah sesi Townhall “Berambeh Ngan CM Abg Jo” yang dibuat di Kompleks Islam Sibu.

Kata Abang Johari lagi, permintaan kerajaan negeri yang berkaitan dengan duti eksport 5% hasil minyak keluaran negeri itu akan selesai dalam beberapa bulan lagi, kerana hasil rundingan dengan Petronas berjalan lancar.

Beliau turut menyatakan bahawa permintaan ini sejajar dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

“Dari segi Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Laporan IGC, yang membentuk Perlembagaan Malaysia 1963 (MA1963), kami (rakyat Sarawak) ada hak untuk mendapat cukai dari gas dan minyak yang di eksport,” jelas Abang Johari.

“Dalam beberapa bulan ini, kami akan menyelesaikan isu hak minyak dan gas negeri. Apa yang menjadi hak Sarawak adalah hak kami, dan ia harus dihormati demi pembangunan Sarawak,” tambah beliau lagi.

Menurut Ketua Menteri Sarawak itu, diantara tahun 1976 dan 2018, minyak dan gas yang dieksport dari negeri itu dianggarkan bernilai RM660 bilion, tetapi hanya RM33 bilion sahaja dibayar ke Sarawak.