Artikel

Modal Teroka Petronas Sediakan Dana RM1.5 Bilion Untuk Para Usahawan IR4.0

Petronas telah menyediakan dana sebesar RM1.47 bil (AS$350 juta) untuk para usahawan.

Ini susulan Petronas menubuhkan satu bahagian baharu untuk Modal Teroka (Venture Capital) mereka, Petronas Corporate Venture Capital (CVC).

Petronas CVC akan menumpukan perhatian dalam memperkasakan usahawan dalam bidang Industri 4.0 (IR4.0), bahan maju (Advanced Materials), dan bahan kimia pakar (Speciality Chemicals).

Usahawan yang berkecimpung dalam industri tenaga masa hadapan (Future of Energy) dan mereka yang memasuki pasaran baharu juga antara tumpuan Petronas CVC.

Lokasi pelaburan Petronas CVC tidak terhad di Malaysia. Ia akan memberi penekanan khusus di pelaburan Asia Pasifik.

Bagi pasaran antarabangsa, sebuah syarikat khusus Petronas CVC, yang dinamakan PTV International Ventures America (PIVA) akan digunakan sebagai kenderaan pelaburan mereka untuk melabur di pasaran Amerika Utara dan Eropah.

Petronas menyatakan bahawa mereka akan mengambil bahagian minoriti dalam hakmilik mana-mana syarikat pelaburan.

Fasa penubuhan syarikat yang akan dilabur adalah fasa awal dan pra-pertumbuhan (Early to Growth-Stage).

Mereka tidak menolak kemungkinan akan bertapak di lokasi Modal Teroka lazim seperti di Silicon Valley.