Exabytes Network Sdn. Bhd. dan Freshworks Inc, syarikat perisian penglibatan pelanggan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, hari ini mengumumkan kerjasama untuk membantu perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memenangi pelanggan dan mengembangkan perniagaan.
Melalui kerjasama ini, Exabytes akan menawarkan perisian penglibatan pelanggan inovatif daripada Freshworks bersama dengan penyelesaian-penyelesaiannya yang sedia ada termasuk pengehosan web, e-mel dan pemasaran digital, sebagai penyedia penyelesaian sehenti perkhidmatan berasaskan awan untuk PKS.
Kerjasama dimeterai dengan menandatangani Perjanjian Kerjasama Perikatan Strategik antara Chan Kee Siak, CEO dan Pengasas Exabytes dan Anand Venkatraman, Naib Presiden Kerjasama Global Freshworks.
Majlis disaksikan oleh Norhizam Abdul Kadir, Naib Presiden Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam acara yang diadakan pada 2 Oktober 2019 di Connexion Conference & Event Centre.
“Exabytes dan Freshworks berkongsi matlamat untuk membantu PKS mengembangkan perniagaan. Syarikat kami telah menggunakan perisian Freshdesk daripada Freshworks selama tiga tahun sekarang dan amat kagum dengan keupayaannya. Oleh itu, kami memutuskan untuk mengadakan kerjasama dengan Freshworks supaya kami dapat menawarkan produk inovatifnya kepada PKS di Malaysia,” kata Chan Kee Siak, CEO dan Pengasas Exabytes.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Exabytes dan menyediakan perniagaan-perniagaan perisian penglibatan yang mudah digunakan, mudah dipasang dan tidak mahal,” kata Anand Venkatraman, Naib Presiden Kerjasama Global Freshworks.
Exabytes memerkasa perniagaan untuk beralih ke dalam talian dan kerjasama ini membantu memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan perisian yang sangat mudah untuk interaksi pelanggan yang bermakna dengan konteks.
Sebagai permulaan, Exabytes akan menawarkan empat produk berikut daripada Freshworks yang sesuai digunakan oleh PKS dalam sebarang industri:
– Freshdesk—sistem tiket meja bantuan semua saluran;
– Freshchat—perisian pemesejan moden untuk jualan, pemasaran, dan bantuan;
– Freshsales—sistem jualan dan penyelesaian pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) untuk pasukan jualan halaju tinggi; dan,
– Freshmarketer—suit pengoptimuman penukaran semua dalam satu.
“Pengurusan sistematik produktiviti dan perniagaan penting untuk semua perniagaan. Kami menggalakkan PKS menimbang mengubah proses perniagaan konvensional mereka kepada digital untuk menikmati pelbagai faedah. Contohnya, sebaik proses penglibatan pelanggan didigitkan dengan Freshworks, pasukan perkhidmatan dapat mengautomasikan tindak balas, menyalurkan permintaan segera dengan cepat untuk memastikan semua pelanggan dapat memberikan perkhidmatan sebaik mungkin dan menjimatkan masa, kos, dan merangsang produktiviti,” kata Chan.