Artikel

Bekas CEO SSM Mengaku Tidak Bersalah Diatas Pertuduhan Rasuah Berjumlah RM5.7 Juta

Apa yang sedang berlaku: Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah didakwa sebanyak 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.7 juta. 

Menerusi pertuduhan tersebut, beliau telah membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada rabu.

Turut dikenakan tindakan yang sama, adalah anaknya – Abdulazeez Wan Ruslan, berhadapan dengan empat pertuduhan menerima rasuah dan bersubahat bersama ibunya berjumlah RM160,000. 

Kenapa ini penting: Berdasarkan pertuduhan, beliau dikatakan menerima rasuah berhubung dengan kelulusan bagi penganjuran program suruhanjaya. 

Sekiranya disabitkan kesalahan, 31 pertuduhan yang dikenakan adalah dibawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membawa hukuman dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan akan didenda lima kali ganda bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, untuk dua lagi pertuduhan akan dikenakan dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Apa selepas ini: Mahkamah telah menetapkan wang jaminan sebanyak RM300,000 bagi tertuduh pertama dan RM70,000 bagi tertuduh kedua. Kes akan disebut semula pada 26 November depan.