Pelaburan ekuiti Lembaga Tabung Haji (TH) kekal teguh dengan peningkatan nilai ekuiti domestik sebanyak RM1.12 bilion kepada RM7.48 bilion setakat 27 Sepetember 2019 berbanding RM6.36 bilion pada akhir tahun 2018.
Syarikat itu telah mengambil peluang dengan melabur pada pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya. Turut difahamkan TH juga tidak melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak 3 bulan lalu.
Menerusi kenyataan media, TH menyatakan pelaburannya tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang memiliki prestasi kewangan serta rekod dividen yang kukuh, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah.
Pegangan terbesar bagi portfolio TH adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB), secara keseluruhan pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta sejak 18 bulan lalu.
TH juga kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.
TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi alokasi aset yang mengutamakan pendapatan yang mampan.