Artikel

ASN Umum Pengagihan Pendapatan

Topline:

ASM 3, 5.00 sen

ASN Equity 5, 3.75 sen

ASN Sara 2, 4.20 sen

Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga tetap, Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) dan dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara (Aset Campuran Konservatif) 2 bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2019.

ASM 3, dana harga tetap yang dahulunya dikenali sebagai Amanah Saham 1Malaysia, telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit kepada 496,705 pemegang unit yang memiliki lebih daripada 13.6 bilion unit.

ASNB juga mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dua dana harga perubahannya yang telah dilancarkan tahun lepas, ASN Equity 5 dan ASN (Aset Campuran Konservatif) 2, masing-masing sebanyak 3.75 sen seunit dan 4.20 sen seunit, menjadikan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM15.1 juta untuk ASN Equity 5 dan RM46.6 juta untuk ASN Sara 2.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, “Kami berpuas hati usaha kami untuk menggalakkan kepelbagaian aset PNB, termasuklah usaha meningkatkan pendedahan kepada aset global, yang bertujuan mengurangkan kesan daripada pasaran ekuiti domestik yang mencabar telah menyokong prestasi ketiga-tiga dana ini.”

“Di sebalik keadaan pasaran semasa yang tidak menentu, PNB terus menyaksikan peningkatan dalam bilangan unit dalam edaran (UIC) bagi kesemua 14 dana dengan ASN Sara 2 berjaya menarik seramai 27,804 pemegang unit yang melanggan 1.1 bilion unit dalam tempoh satu tahun selepas pelancarannya. Ini mencerminkan tahap kepercayaan para pelabur terhadap PNB, yang akan sentiasa kami pelihara.” 

Kedua-dua dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, diperkenalkan tahun lepas untuk memenuhi keperluan pelabur dari kategori dan tahap risiko pelaburan yang berbeza.

ASN Equity 5 ialah dana pertumbuhan ekuiti yang dikhususkan kepada pelabur muda yang mensasarkan peningkatan modal dan nilai kasar, dan berhasrat menjana peningkatan modal serta pengagihan pendapatan yang berpatutan melalui kepelbagaian portfolio pelaburan.

ASN Sara 2 pula ialah dana aset campuran konservatif yang difokuskan kepada pelabur yang lebih matang dan ingin mengelak risiko, selain memilih aliran pendapatan yang stabil serta potensi pertumbuhan jangka panjang.

Pengagihan pendapatan dikira berdasarkan purata baki minimum bulanan sepanjang tahun kewangan untuk ASM 3, manakala untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2, ianya berdasarkan jumlah unit dimiliki pada hujung tahun kewangan dana. Pembayaran pengagihan pendapatan yang diumumkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik pada 1 Oktober 2019 untuk ASM 3 dan pada 2 Oktober 2019 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Urus niaga telah ditangguh buat sementara waktu dari 26 September hingga 30 September untuk ASM 3 dan untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 dari 28 September hingga 1 Oktober 2019, bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau dengan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Oktober 2019 untuk ASM 3, dan 2 Oktober 2019 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.