Menurut Kajian Sikap Pembayaran Pengguna Visa 2018 – pembayaran utama di Malaysia, menunjukkan hampir 70 peratus daripada pengguna lebih suka mengunjungi peniaga yang menerima pembayaran nirtunai berbanding penggunaan tunai.
Angka ini dilihat telah menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kategori peniaga yang diramalkan oleh pengguna akan menyediakan tahap pembayaran digital lebih tinggi termasuk gedung beli-belah besar (65%), pasar raya (60%) dan kemudahan pembayaran bil (57%). Malah, lebih separuh daripada responden (60%) percaya bahawa pembayaran tanpa tunai adalah lebih selamat, selain daripada menjejak perbelanjaan dengan lebih baik, walaupun tunai kekal sebagai kaedah pembayaran pilihan bagi nilai perbelanjaan yang kecil di negara ini.
Ng Kong Boon, Pengurus Visa Malaysia menyatakan aliran penggunaan bayaran nirtunai ini didapati berasaskan perolehan data pada VisaNet (Data VisaNet Jun 2019) mereka, di mana jumlah trafik transaksi telah meningkat peratusan dua angka secara tahunan. Perihal ini menunjukkan penerimaan warga Malaysia terhadapa transaksi nirtunai semakin positif.
Meskipun peratusan tersebut meningkat, namun pertumbuhan berterusan pada pembayaran secara tunai masih kekal membentuk 60 peratus daripada perbelanjaan pengguna di Malaysia.