Artikel

Drama Syed Mokhtar Bukhari Dan Media Prima Semakin Menarik

Pusat penyelidikan CIMB-CGS sekali lagi mengeluarkan nota selidik berkenaan dengan Media Prima Berhad.

Ini susulan laporan yang menunjukkan syarikat berkait dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary – Aurora Mulia Sdn Bhd telah memiliki 31.22% saham di dalam Media Prima.

Anak Tan Sri Syed Mokhtar – Syed Danial, adalah antara lembaga pengarah dalam Aurora Mulia.

CIMB-CGS melaporkan bahawa melalui satu filing saham ke Bursa Malaysia, Aurora Mulia Sdn Bhd telah membeli 88.3 juta saham Media Prima pada Sept 19. Ini membentuk 7.96% jumlah saham syarikat media itu. Menurut satu laporan oleh The Edge Financial Daily, pembelian blok ini adalah dari Altima Inc. 

Altima Inc merupakan sebuah syarikat pemegang amanah (trustee) kepunyaan UMNO.

Dengan penjualan aset UMNO ke Tan Sri Syed, ini menggambarkan satu situasi di mana UMNO dalam proses keluar dari pembiayaan dan kawalan syarikat-syarikat media di Malaysia.

Tan Sri Syed Mokhtar mula membeli saham di Media Prima sekitar awal bulan Julai 2019. Ia bermula dengan pembelian 132.4 juta saham, atau 11.09% saham Media Prima dari sebuah lagi syarikat trustee UMNO, iaitu Gabungan Kesturi Sdn Bhd.

Data dari Bloomberg pada waktu itu menunjukkan harga penjualan blok ini, menurut CIMB-CGS, adalah 60 sen setiap satu saham.

Menurut undang-undang, perkara yang akan menyebabkan Tawaran Umum Mandatori (Mandatory General Offer, atau MGO) harus menepati salah satu dari dua perkara ini: 1) mana-mana pihak memiliki saham yang mendekati paras 33% hingga 50%, atau 2) mana-mana pihak yang berupaya untuk mengawal komposisi lembaga pengarah syarikat berkenaan.

Aurora Mulia, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar, merupakan pemegang saham terbesar Aurora Mulia.

Ini memberikan mereka hak untuk diwakili di paras lembaga pengarah.

Sementara itu, Aurora Mulia hanya memerlukan 1.78% lagi untuk menjadikan mereka miliki 33% jumlah saham Media Prima.

Walaupun MGO kelihatan perlu dilaksanakan, terdapat beberapa cabaran yang harus ditempuhi Aurora Mulia terlebih dahulu.

Pertama, pihak pengurusan Media Prima dilaporkan telah berjumpa dengan wakil dari Aurora. Menurut laporan ini, pihak pengurusan Media Prima menggambarkan bahawa Aurora tidak ingin menambah milikan saham mereka di syarikat media tersebut.

Kedua, tidak wujud sebarang tanda-tanda Tan Sri Syed Mokhtar akan mendedahkan secara terbuka bahawa beliau adalah pemilik mutlak saham yang dipegang oleh Mitsubishi UFJ Financial Group dalam Media Prima.

MUFJ kini memiliki 12.84% saham Media Prima secara Trustee. Pemilik mutlak blok saham ini tidak diketahui secara hakiki, tetapi terdapat pelbagai laporan yang mendakwa bahawa individu tersebut adalah Syed Mokhtar.

Sekiranya Tan Sri Syed mencantumkan milikan saham MUFJ dengan Aurora Mulia, jumlah pegangan saham beliau pada Media Prima adalah 44.06%. 

Tanpa MGO, Media Prima masih diklasifikasikan sebagai saham rendah atau reduce, di mana saham-saham dalam klasifikasi ini dicadangkan agar dijual oleh pemegang saham syarikat berkenaan.

Harga sasaran Media Prima oleh CIMB-CGS adalah 38 sen. Pada petang Khamis, saham Media Prima didagang pada 48 sen setiap satu saham.