Artikel

LHDN Buka Kaunter Khas Hari Minggu Untuk Program Pengakuan Sukarela

Dalam usaha memastikan orang ramai mengambil peluang bagi program pengakuan sukarela, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) akan memanjangkan tempoh waktu pejabat mereka.

Kaunter Perkhidmatan LHDN di 36 Cawangan, 44 Pusat Khidmat Hasil dan 12 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara akan beroperasi pada 28 & 29 September 2019 (Sabtu & Ahad) bagi memastikan kelancaran urusan pembayar cukai yang berhasrat untuk menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang akan tamat pada 30 September 2019. 

Kaunter Duti Setem turut akan dibuka pada tarikh tersebut khusus untuk pengeluaran notis taksiran secara dalam talian (STAMPS) kepada pembayar duti individu sahaja dan tidak termasuk wakil atau ejen bagi dokumen yang diterima melebihi tempoh enam (6) bulan dari tarikh dokumen ditandatangani. 

Namun demikian, LHDN menegaskan bahawa tiada pembayaran duti setem dan cukai akan diterima di kaunter pada tarikh tersebut.

Sebagai menyokong kelancaran proses permohonan PKPS ini, Pusat Panggilan LHDNM atau Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 juga akan beroperasi pada tarikh tersebut bagi menjawab sebarang pertanyaan berkaitan PKPS oleh pembayar cukai. 

Kaunter pusat bayaran LHDNM di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu tidak dibuka pada tarikh tersebut. Sehubungan itu, bayaran baki cukai yang dikenakan boleh dibuat menggunakan cek di kaunter perkhidmatan, secara dalam talian di Portal ByrHASiL di pautan https://byrhasil.hasil.gov.my/ dan juga melalui perbankan internet serta kaunter bank ejen LHDNM. Bayaran baki cukai perlu dilunaskan selewat-lewatnya pada 1 Oktober 2019 bagi mengelakkan sebarang kenaikan cukai atas kelewatan dikenakan. 

PKPS merupakan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang mempunyai akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDNM. Pada masa yang sama PKPS juga mengalu-alukan apa jua pengakuan (jika ada) yang ingin dibuat oleh pembayar cukai berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia. Sebarang pengakuan sukarela yang dibuat secara suci hati oleh pembayar cukai dalam tempoh PKPS ini juga akan diterima secara suci hati tanpa semakan lanjut oleh LHDNM. 

Fasa pertama PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November 2018 telah tamat pada 30 Jun 2019 yang lalu dengan menawarkan kadar penalti yang sangat rendah iaitu hanya 10% atas amaun cukai tambahan yang dikenakan. Manakala bagi fasa kedua yang bermula pada 1 Julai 2019 dan akan tamat pada 30 September 2019 pula menawarkan kadar penalti 15% atas amaun cukai tambahan yang dikenakan. 

Oleh yang demikian, LHDNM menyeru agar pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai dan masih belum menyertai PKPS ini agar segera memanfaatkannya bagi mengelakkan bebanan penalti yang lebih tinggi dikenakan terhadap mereka selepas tempoh PKPS tamat.

Untuk sebarang keterangan lanjut, sila:

  1. Kunjungi Pejabat LHDNM yang berhampiran;
  2. Hubungi Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-8911 1100 (Luar Negara); atau
  3. E-mel pertanyaan kepada: [email protected]