Top Glove Corporation Bhd mengumumkan keputusan kewangannya bagi Suku Keempat (4STK19) dan Tahun Penuh berakhir 31 Ogos 2019 (TK2019).
Bagi TK2019, Pendapatan Jualan Kumpulan adalah RM4.8 bilion, peningkatan 13.8% berbanding TK2018.
Jumlah Jualan juga meningkat 10.2% berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Pertumbuhan Jumlah Jualan ini terhasil kerana peningkatan daripada segmen sarung tangan nitril yang meningkat sebanyak 30%, berikutan fokus syarikat ini dalam meningkatkan usaha pemasarannya, serta kapasiti nitril yang meningkat sebanyak 54% dalam tempoh 2 tahun.
Pertumbuhan Jumlah Jualan yang kukuh juga dikaitkan dengan segmen sarung tangan pembedahan yang meningkat sebanyak 46%, sebahagian besar yang disumbang oleh Aspion.
Prestasi memberangsangkan ini dikaitkan dengan peningkatan kualiti produk dan tahap kecekapan yang lebih tinggi daripada pembinaan kilang-kilang sarung tangan baru yang lebih maju dari segi teknologi serta peningkatan automasi.
Walau bagaimanapun, Keuntungan Selepas Cukai dicatat sebanyak RM373.6 juta, turun 12.9% berbanding TK2018 disebabkan oleh kenaikan mendadak harga lateks getah asli.
Sementara itu, bagi 4STK19, Pendapatan Jualan direkod sebanyak RM1.19 bilion, setanding dengan 3STK19 tetapi kurang 2.8% berbanding 4STK18.
Keuntungan Selepas Cukai meningkat 6.5% suku-ke-suku dan dicatat sebanyak RM80.1 juta disebabkan cukai yang lebih rendah pada 4STK19, dengan pengiktirafan aset cukai tertunda daripada kerugian cukai dan elaun yang tidak digunakan. Walau bagaimanapun, Keuntungan Selepas Cukai turun 14.2% tahun-ke-tahun.