Artikel

Fiberail, edotco Group – Jalin Kerjasama Bagi Penyediaan Infrastruktur Telco-Neutral

Fiberail Sdn Bhd dan edotco Group Sdn Bhd akan bekerjasama bagi menyediakan perkhidmatan infrastruktur penyedia bebas nirwayar (telco-neutral) di Malaysia.

Perkara ini akan dilakukan melalui satu perjanjian yang membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepakaran dan keupayaan masing-masing. 

Fiberail merupakan sebuah syarikat usaha sama antara TM, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Petrofibre Network (M) Sdn Bhd, yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (NSP) dan Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP) terutamanya dalam industri telekomunikasi.

Melalui kolaborasi ini, kedua-dua pihak akan bekerja rapat untuk meneroka peluang-peluang bagi melaksanakan infrastruktur nirwayar generasi akan datang dengan penyedia bebas di sepanjang koridor landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Di mana ia akan membolehkan MNO (mobile network operator)  meluaskan liputan perkhidmatan ke kawasan luar bandar. 

Fiberail akan menyediakan sambungan lebar jalur dan kabin berpusat untuk peralatan milik pengendali mudah alih sementara edotco akan mendirikan dan menguruskan menara telekomunikasi pintar dan tiang- tiang di sepanjang koridor keretapi.

Kerjasama di antara Fiberail dan edotco ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertujuan untuk menyediakan sambungan di seluruh negara yang mantap, meluas dan berkualiti tinggi. Kedua-dua pihak menjangkakan dapat menetapkan terma dan bidang kerjasama ini secara rasmi dengan memeterai perjanjian yang muktamad dalam tempoh satu tahun.