BigPay sebuah syarikat teknologi kewangan berfokuskan ASEAN, telah melancarkan perkhidmatan kiriman wang antarabangsa yang membolehkan pengguna menghantar wang terus dari Malaysia ke akaun bank di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina, tanpa yuran dan caj tersembunyi.
Pengguna kini boleh mendepositkan wang ke dalam BigPay menerusi kad bank atau dengan membuat pemindahan melalui bank mereka. Sejajar dengan misi BigPay untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang adil dan telus, kiriman wang antarabangsa akan ditawarkan kepada pelanggan pada harga tetap bagi setiap koridor dengan kadar pertukaran yang berdaya saing. Ini merupakan gelombang pertama pelancaran kiriman wang BigPay, di mana lebih banyak lagi koridor akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Menurut Chris Davison – Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas bersama BigPay, kira-kira RM104 bilion (AS$25 bilion) telah dibelanjakan bagi setiap tahun di seluruh dunia untuk membayar yuran kiriman wang dan pengguna mampu mengubahnya dengan khidmat BigPay. Keterangkuman kewangan adalah asas kepada perkhidmatan BigPay dan ini adalah sebahagian daripada strategi bagi memudahkan proses kiriman wang kepada pengguna.
BigPay juga merupakan salah satu daripada syarikat teknologi kewangan di Malaysia yang mendapat kelulusan oleh Bank Negara Malaysia untuk menggunakan eKYC (elektronik Kenali Pelanggan Anda) bagi tujuan kiriman wang. Ia membolehkan pelanggan BigPay mengemukakan segala dokumen yang diperlukan secara elektronik di dalam aplikasi menggunakan dokumen pengesahan identiti dan teknologi biometrik wajah yang tidak lagi memerlukan pelanggan membuat pengesahan datang sendiri, membuat pengesahan secara fizikal.