YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat, dari 24 hingga 28 September 2019.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh isteri, YABhg Tun Dr. Siti Hasmah Hj Mohd Ali; Menteri Luar Negeri YB Dato’ Saifuddin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Ekonomi YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Ini merupakan lawatan kedua YAB Tun Dr. Mahathir ke Perhimpunan Agung PBB, setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.
Di New York, YAB Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sesi Debat Umum pada 27 September 2019. Tema bagi sesi Debat Umum pada tahun ini, iaitu “Galvanizing Multilateral Efforts for Poverty Eradication, Quality Education, Climate Action and Inclusion” menumpu kepada kepentingan sistem PBB untuk kekal relevan pada masa kini. Tema ini akan turut memberikan penekanan kepada komitmen pemimpin dunia dalam menangani cabaran yang dihadapi dunia sejagat seperti kemiskinan tegar, pendidikan berkualiti, perubahan iklim dan kesamarataan (equality).
Kenyataan yang bakal disampaikan oleh YAB Perdana Menteri di Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung PBB dijangka mengetengahkan perkembangan dunia dan menekankan pentingnya diplomasi pelbagai hala di mana negara-negara dunia perlu bekerjasama untuk menangani cabaran-cabaran yang dihadapi bersama. YAB Perdana Menteri dijangka menggariskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota PBB yang lain bagi mencapai matlamat di bawah tema sesi Debat Umum Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung PBB. Beliau akan turut menzahirkan harapan Malaysia terhadap PBB sebagai suatu pertubuhan antarabangsa yang berperanan untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia sejagat.
YAB Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucapan di Leaders Dialogue 6: The 2020-2030 Vision semasa High-Level Political Forum on Sustainable Development (SDG Summit) pada 25 September 2019. Beliau akan turut berucap di acara “Environmental Stewardship in Addressing Poverty to Achieve Sustainable Development for All” di PBB pada 26 September 2019, yang dianjurkan oleh Malaysia bersama-sama Turki, Pakistan, dan UN Department of Economic and Social Affairs (UN DESA). Selain itu, YAB Perdana Menteri juga akan memberi ucapan di acara sampingan mengenai “Rohingya Crisis – A Way Forward” di mana Malaysia merupakan penganjur bersama di samping Bangladesh, Turki, Arab Saudi dan Kanada.
Antara program penting lain yang melibatkan penyertaan YAB Perdana Menteri termasuk dialog dengan ahli-ahli U.S. Council on Foreign Relations dan program World Leaders Forum di Universiti Columbia. YAB Perdana Menteri akan turut ditemuramah oleh organisasi media antarabangsa seperti Wall Street Journal dan Oxford Business Group. Beliau juga dijangka mengadakan pertemuan dengan usahawan dan pelabur yang berpotensi dari Amerika Syarikat semasa berada di New York.
Di samping itu juga, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di sela-sela Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung PBB, bagi membincangkan isu berkepentingan bersama. Perjumpaan tersebut dijangka akan mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin dengan negara-negara berkenaan, serta mengukuhkan persefahaman antara pemimpin dalam isu serantau dan antarabangsa.
Sepanjang Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung PBB, Menteri-Menteri Kabinet yang mengiringi YAB Perdana Menteri akan turut terlibat dengan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan. Menteri Luar Negeri YB Dato’ Saifuddin Abdullah, dijadualkan menyertai beberapa mesyuarat, antara lain, High-Level Meeting on Universal Health Coverage; High-Level Plenary Meeting to Commemorate and Promote the International Day for the Total Elimination of Nuclear Weapons; 10th Ministerial Meeting of the UN Group of Friends of Mediation; dan Asia Cooperation Dialogue (ACD) Ministerial Meeting. Beliau juga akan menyertai sesi the Ministerial side event “United Nations General Assembly Special Session 2021 (UNGASS 2021) on Corruption: A Path Forward to Enhance and Strengthen the International Anti-Corruption Legal Framework” sebagai salah seorang ahli panel. YB Menteri Luar Negeri akan turut menyertai mesyuarat-mesyuarat peringkat menteri berkaitan ASEAN; Komanwel; NAM; OIC; dan Group of 77 (G77); serta acara-acara lain yang berlangsung di sela-sela Sesi Ke-74 Perhimpunan Agung PBB.
YB Menteri Luar Negeri juga dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi pula dijadual menghadiri Sidang Kemuncak mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goal Summit – SDG Summit) dan High-Level Dialogue on Financing for Development (FfD).