Artikel

Jepun Labur RM42 Bilion Pada LNG Sebagai Usaha Membebaskan Negara Dari Timur Tengah

Sektor awam dan swasta Jepun kini dilaporkan akan melabur RM42 bilion (AS$10 bilion) dalam industri Gas Asli Cecair (LNG), sebagai usaha untuk menghindar daripada kebergantungan dengan Timur Tengah.

Perkara ini dilaporkan oleh Nikkei Asian Review petang Isnin.

Jepun melakukan sedemikian kerana ketegangan yang sedang meruncing di Timur Tengah, terutamanya di Arab Saudi, Yemen, dan Iran.

Tokyo membayangkan pelaburan sebanyak ini akan digunakan untuk membina loji penyaringan, kilang pemprosesan, dan generator tenaga, untuk membina keupayaan terhadap pengeluaran LNG dari Jepun.

Nikkei melaporkan bahawa Jepun bukan hanya mahu menggunakan LNG untuk kegunaan sendiri, tetapi ingin mengeksportnya ke seluruh dunia.

Jepun telah mengimport LNG selama lima dekad, dan merupakan negara pengimport LNG terbesar di dunia. Syarikat-syarikat Jepun dilaporkan mempunyai keupayaan dan set kemahiran untuk mengeluarkan LNG untuk kapasiti pasaran dunia.

Dana RM42 bil ini akan dijana oleh Japan Bank for International Cooperation, Japan Oil, Gas and Metals National Corp, serta Nippon Export and Investment Insurance akan berikan perlindungan insuran kepada semua pembiayaan yang berkenaan dengan LNG.

LNG akan berikan satu alternatif kepada negara-negara pengimport tenaga untuk mengurangkan kebergantungan mereka kepada Timur Tengah. Keadaan kestabilan di rantau itu semakin meruncing dan ia telah menyebabkan banyak negara untuk mencari jalan keluar dari terus bergantung dengan negara-negara dari kawasan itu.