Artikel

edotco Group Memasuki Pasaran Kelapan

Syarikat pemasangan menara telekomunikasi terbesar di Asia Tenggara, edotco Group Sdn Bhd, membuka pasaran kelapan mereka hari ini.

edotco Group, sebuah anak syarikat Axiata, telah memasuki pasaran Filipina.

Ini bermakna, edotco kini mempunyai perniagaan di Asia dan Asia Tenggara iaitu di Bangladesh, Kambodia, Laos, Myanmar, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, dan juga di Malaysia.

Kehadiran perniagaan di Filipina ini adalah seperti dijangka oleh penganalisis pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) edotco, Suresh Sidhu menyatakan cabaran setiap pasaran adalah tersendiri, tetapi ini juga bermakna peluang untuk berjaya di mana-mana pasaran juga unik dan menarik.

“Kami sedar setiap pasaran membawa keunikan tersendiri. Di Filipina contohnya, industri perkongsian menara-telekomunikasi adalah masih di tahap awal. Ini membolehkan kami untuk terus mara kehadapan untuk mengembangkan perniagaan ini,” kata Suresh.

Undang-undang Filipina memerlukan mana-mana syarikat luar untuk membentuk satu usaha-sama (JV) dengan syarikat tempatan.

Ini bermakna, edotco membentuk sebuah JV dengan ISOC Infrasturcure, Inc yang kini dikenali sebagai ISOC edotco Towers, Inc.

Selesainya aktiviti penyatuan ini, ISOC edotco Towers akan menjadi anak syarikat edotco.

Kedua-dua pihak ISOC dan edotco akan membawa kepentingan dan set kemahiran bersama untuk membentuk sebuah perniagaan yang baik di pasaran Filipina.

ISOC edotco Towers sasar akan membina 400 hingga 500 menara dalam tahun pertama operasi.

Ini akan terus bertambah hingga mencecah sasaran pembikinan 1,000 menara dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

ISOC dan edotco akan sama-sama menyumbang RM417 juta (AS$100 juta) sepanjang tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

edotco telah beroperasi selama enam tahun dan telah berkembang pesat. Mereka adalah antara anak syarikat Axiata yang menyumbang kepada pertumbuhan ibu syarikat itu secara signifikan.