Malindo Air menyatakan bahawa seorang individu yang terkait dengan GoQuo (M) Sdn Bhd dari India bertanggungjawab dalam kes ketirisan data syarikat penerbangan itu.
Individu ini, menurut Malindo, merupakan bekas pekerja GoQuo (M) Sdn Bhd.
Menurut sebuah kenyataan, Malindo Air berkata bahawa individu yang dahulunya pernah bekerja dengan GoQuo (M) Sdn Bhd telah mengakses dan ‘mencuri’ data para pelanggan Malindo Air.
Syarikat penerbangan ini telah melaporkan hal berkenaan kepada pihak polis di Malaysia dan juga di India.
Mereka juga telah mengemaskini penemuan ini dengan pihak-pihak berkuasa di kedua buah negara yang terbabit.
Sebelum ini, terdapat laporan ketirisan data pengguna Malindo Air, yang membabitkan ribuan akaun, dan menyebabkan data peribadi seperti nombor telefon, alamat rumah, perincian kad kredit, dan sebagainya sebagai hilang dalam kes ketirisan ini.
Namun demikian, Malindo perjelaskan kedudukan semasa situasi ini.
“Malindo ingin menegaskan bahawa kes ketirisan ini tidak disebabkan oleh sistem sekuriti data kami, mahupun dengan perkhidmatan pengawan kami iaitu Amazon Web Services,’ kata Malindo.
‘Kesemua sistem data kami adalah terjamin, dan tiada perincian kewangan pelanggan kami telah hilang dalam kes ini,’ tambah Malindon lagi.
Malindo beri jaminan bahawa data forensik dan keselamatan siber telah dihubungi dan dibawa masuk dalam kes ini untuk berikan perkhidmatan perundingan untuk mengukuhkan lagi sistem kawalan syarikat ini.