Affin Hwang Asset Management Berhad telah mengumpul lebih RM100 juta dalam tiga hari pertama pelancaran, untuk dana pelaburan terbaharu mereka.
Dana pelaburan yang dinamakan ‘Flexible Maturity Income Fund’ atau FlexMIF 14 ini adalah kali ke-empat belas mereka mengumpul dana, bagi tujuan pelaburan untuk pelanggan mereka.
FlexMIF 14 bertujuan untuk memberikan pendapatan secara berkala, melalui pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap, secara tahunan.
Instrumen pendapatan tetap, kebiasaannya merupakan bon atau sukuk.
Sejak 2009, Affin Hwang telah mengumpul lebih RM4 bilion dari 28 corak pengumpulan dana seperti yang dilakukan dalam FlexMIF 14 ini.
Syarikat pelaburan ini menyatakan bahawa mereka akan melabur sekurang-kurangnya 70% dari Nilai Aset Bersih (NAV) di dalam pelaburan Pendapatan Tetap dan selebihnya akan dilaburkan dalam pelaburan lain seperti Produk Derivatif dan Pelaburan Berstruktur.
Dana FlexMIF 14 ini adalah bertempoh lima tahun, dan mempunyai pendapatan bersasar 4.50% hingga 5.00% apabila matang.
Affin menjelaskan bahawa sasaran 4.50% hingga 5.00% ini hanyalah panduan dan boleh bertukar berdasarkan tarikh permulaan pelaburan, dan ia dihitung berdasarkan pelaburan kasar dalam dana tersebut.
Menurut Ketua Pemasaran dan Pengedaran Affin Hwang, Chan Ai Mei, pelaburan ini mendapat permintaan tinggi.
“Permintaan tinggi untuk dana ini memberi panduan dan gambaran tentang ketidakstabilan pasaran sedia ada, dan keperluan pelabur untuk mendapatkan sebuah pelaburan yang stabil dan berkala,” kata Chan.
Menurut Chan lagi, dana ini adalah lebih sesuai untuk pelabur sofistikated dan mempunyai tahap permintaan pelaburan dasar panjang, sekitar lima tahun, dengan toleransi risiki bertahap sederhana.