Artikel

Malaysia Bakal Usul Tarif Baharu Bekalan Air Kepada Singapura

Malaysia akan kemukakan cadangan berkenaan dengan pembaharuan tarif baharu untuk membekalkan air mentah kepada Singapura.

Perkara ini diumumkan oleh Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah dan dilaporkan oleh Nikkei Asian Review.

Ini susulan usaha Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad untuk mengemas kini perjanjian pembekalan air yang termaktub lebih 50 tahun sebelum ini.

Perkara ini telah menyebabkan keresahan kepada pihak Singapura yang sebelum ini menyuarakan pandangan bahawa perjanjian ini tidak wajar diubah kerana mereka mengintipritasi isu ini sebagai tidak perlu dikemaskini.

Perjanjian Air Sungai Johor 1962 dilihat dan diintipritasi berlainan antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan rakan sejawat beliau, Tun Mahathir bersetuju untuk ke mahkamah antarabangsa sekiranya kedua-dua pihak tidak mendapat kata sepakat untuk menyelesaikan isu ini secara dua hala.

Di bawah perjanjian asal, Singapura berhak membeli 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor dengan harga 0.7 sen setiap 1,000 gelen (bersamaan dengan 7 sen setiap 10 ribu gelen), selama 99 tahun bermula dari 1962.

Secara serentak, Johor berhak membeli sehingga 5 juta gelen air dirawat setiap hari (bersamaan dengan 2% air yang dibekalkan ke Singapura) dengan harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Setelah mengambil alih kuasa, Tun Mahathir menggambarkan perjanjian ini sebagai ‘tidak munasabah’, terutamanya dengan kedudukan Singapura sebagai ekonomi yang kaya. Singapura sebaliknya menyatakan bahawa Malaysia tidak menggunakan haknya untuk mengkaji semula harga perjanjian pada tahun 1987.

Saifuddin menyifatkan cadangan mengubah harga pembekalan air ke Singapura ini sebagai ‘amat sukar’ untuk diselesaikan.