Dengan kelemahan perbelanjaan pengiklanan (adex) yang berpanjangan dan pertumbuhan untuk segmen digital yang tidak mampu mengimbangi ini, Kajian Hong Leong Investment Bank (HLIB) berpendapat bahawa masih belum ada pemangkin untuk sektor media bagi separuh kedua tahun 2019.
Oleh itu, rumah penyelidikan ini telah mengekalkan pandangan “kurang berat” bagi sektor ini.
Penganalisis HLIB, Khairul Azizi Kairudin menjangkakan pertumbuhan yang bagus untuk adex digital, terutamanya dari iklan mudah alih dan video akan memberi kesan negatif terhadap adex tradisional.
“Kadar penembusan internet dan telefon pintar yang tinggi sebanyak 86% dan 82% akan terus memacu adex digital, dan seterusnya akan mengimpak secara negatif adex tradisional,” kata Khairul dalam laporan, awal minggu ini.