Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah menetapkan September 24 sebagai tarikh sebut kes 1MDB anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Shahriz Abdul Aziz.
Kes jenayah ini berkenaan dengan pertuduhan yang dikenakan oleh pendakwa terhadap Riza, di mana beliau dituduh mengalihkan wang haram sebanyak AS$248 juta (RM1.25 bilion) dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Rozina Ayob tetapkan tarikh berkenaan setelah timbalan pendakwaraya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memberitahu mahkamah bahawa dokumen berkenaan dengan kes ini masih belum selesai dikumpul.
Ini kerana dokumen-dokumen berkenaan berasal dari Amerika Syarikat, dan memerlukan masa untuk pihak berkuasa AS menghantar dokumen-dokumen yang berkenaan kepada pihak pendakwa di Malaysia.
Riza diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh. Hariharan mengesahkan perkara tersebut, dan menggesa pihak pendakwa untuk memberikan mana-mana dokumen yang terkait dengan kes ini secepat mungkin.
Riza mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan dalam kes ini.
Pertuduhan pertama membabitkan menggunakan wang haram 1MDB untuk menjana kos pembikinan Wolf of Wall Street oleh Red Granite Pictures.
Pertuduhan kedua membabitkan mengalihkan wang sebanyak AS$9 juta (RM45 juta) ke akaun RBS Coutts di Switzerland.
Pertuduhan ketiga dan keempat, RIza dituduh mengalihkan wang sebanyak AS$133 juta (RM500 juta) dan AS$60 juta (RM240 juta).
Pertuduhan kelima membabitkan pengalihan wang sebanyak AS$45 juta (RM180 juta).