Artikel

Syed Mokhtar Albukhary Memiliki 36% Saham Media Prima

Aurora Mulia Sdn Bhd, sebuah syarikat terkait dengan ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary memiliki 23.26% saham di Media Prima Berhad.

Sebelum ini, rumah penyelidikan CGS-CIMB juga memberikan maklumat bahawa Mitsubishi UJG (MUFG) memiliki sekitar 12.84% saham Media Prima. CGS-CIMB menyatakan bahawa The Star dan The Edge pernah melaporkan bahawa saham yang dipegang oleh MUFG di dalam Media Prima adalah milik Tan Sri Syed Mokhtar.

Jika ini benar, ia bermakna jumlah pegangan saham Tan Sri Syed Mokhtar di dalam syarikat Media Prima berjumlah sekitar 36.10%.

Menurut undang-undang yang dikendalikan dan diselenggara oleh Bursa Malaysia, sekiranya mana-mana pihak memiliki 33% hingga 50% pegangan saham syarikat yang tersenarai di Bursa, pihak ini harus mengendalikan satu tawaran umum wajib (Mandatory General Offer, atau MGO).

Namun demikian, CGS-CIMB menyatakan bahawa tiada lagi tanda-tanda, sebuah MGO akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.

Syed Mokhtar sebelum ini memegang saham di beberapa buah syarikat media, termasuk NST, Malaysian Reserve, Utusan, dan lain-lain.