Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menyuarakan keinginan untuk memasuki perniagaan jalur lebar secara borong.
Ini adalah satu usaha syarikat itu untuk membantu dalam menjana pendapatan baharu, kerana TNB mungkin akan terkesan akibat pelan kerajaan untuk meliberasasikan industri tenaga di Malaysia.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sebelum ini, TNB telah melancarkan projek jalur lebar secara berperingkat, bermula di Jasin, Melaka.
Di kawasan itu, perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) telah dibekalkan oleh TNB kepada 1,100 buah rumah dan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
“Projek ini telah membuahkan hasil positif, dan saya yakin ia akan memberikan sokongan untuk TNB meneruskan usaha mereka dalam industri HSBB ini,” kata Gobind.
“Selain itu, TNB telah melancarkan projek seterusnya, iaitu membekalkan perkhidmatan HSBB kepada 11,000 rumah dan juga akan melancarkan perkhidmatan ini di negeri-negeri lain, termasuk di Kedah, Perak, dan Johor,” tambah Gobind lagi.
Perkhidmatan HSBB yang akan dilakukan oleh TNB merupakan satu rangkaian baharu yang dijanakan oleh syarikat tenaga itu.
TNB merupakan satu-satunya syarikat yang membekalkan tenaga elektrik kepada seluruh Malaysia. Walaupun begitu, terdapat beberapa syarikat penjanaan kuasa yang membantu membekalkan tenaga di negara ini, tetapi terhad pada masa ini.