Artikel

Sidang Kemuncak Fintech Islam Global Dijangka Menarik Lebih 900 Hadirin

Sidang Kemuncak Fintech Islam Global (GIFS) 2019 dan acara bersamanya Pengalaman Ekonomi Digital Islam (IDEX) selama tiga hari bermula 1 Oktober 2019 ini dijangka menarik lebih 900 perwakilan dan pengunjung perdagangan.

Penganjur acara dari Istanbul, Elmangos berkata GIFS dan IDEX pada tahun ini akan menekankan kepada permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan industri halal digital di peringkat global, dengan inovasi, keusahawanan dan ekonomi sebagai teras utama.

Katanya hari pertama acara itu untuk seminar, dihoskan oleh Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), yang akan membincangkan secara terperinci mengenai fintech dan topik berkaitan digital yang lain, membolehkan peserta berinteraksi dengan pakar-pakar industri dan mendapat pandangan yang lebih baik.

Hari kedua, akan diadakan di Berjaya Times Square Hotel, akan menganjurkan IDEX, yang menumpukan kepada pelbagai sektor industri halal, kepentingan keusahawanan dalam era digital, cara untuk berkembang dalam ekosistem, dan panel khusus untuk keusahawanan wanita.

Hari terakhir, diadakan di lokasi sama, adalah GIFS, yang akan memberi tumpuan kepada industri fintech untuk ekonomi Islam dan lain-lain.

“GIFS dan IDEX 2019 diwujudkan sebagai platform untuk berhubung dengan profesional ekonomi Islam bagi memudahkan pertukaran maklumat mengenai perniagaan, mewujudkan kerjasama jangka panjang dan menggalakkan inovasi melalui nilai-nilai yang dikongsi bersama,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Elmangos Abd Elmohaimen Mansi dalam kenyataan di sini hari ini. (11 September 2019)

Penganjur menawarkan kadar istimewa bagi mana-mana syarikat pemula niaga ekonomi Islam yang beroperasi kurang dari tiga tahun untuk mempamerkan di zon syarikat pemula niaga di acara tersebut.

Sidang Kemuncak itu disokong oleh Perbadanan Islam bagi Pembangunan Sektor Swasta (ICD), Persatuan Institusi Kewangan dan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Fintech Malaysia (FAOM), Persatuan Takaful Malaysia dan Platform Akaun Pelaburan.