Artikel

Malindo Perjelas Pencerobohan Data Pengguna

Malindo Airways Sdn Bhd mengesahkan bahawa terdapat ketirisan data pengguna mereka.

Dalam satu kenyataan, Malindo berkata mereka sedang menyiasat ketirisan data pengguna syarikat penerbangan itu setelah mendapati terdapat serangan siber ke atas mereka yang menyebabkan isu pencerobohan data.

Siasatan ini dijalankan secara bersama dengan penyedia data syarikat itu, Amazon Web Services (AWS).

Kebocoran ini diketahui minggu lepas.

Jumlah pengguna yang terlibat dalam ketirisan data tidak diumumkan oleh syarikat itu.

Antara data yang diceroboh, termasuk maklumat paspot pengguna, alamat rumah, nombor telefon, dan lain-lain lagi.

Pengguna digesa untuk menghubungi pihak berkuasa, termasuk Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) sekiranya ingin mendapat maklumat lanjut tentang isu pencerobohan data ini. 

Lewat Rabu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengeluarkan data aduan negara, bagi tempoh separuh tahun pertama 2019.

Dalam laporan MAVCOM ini, aduan yang diterima oleh mereka berkenaan dengan Malindo Air adalah ketiga tertinggi (12.7%), dibelakang Malaysia Airlines (51%) dan AirAsia (22.7%).