Artikel

Indonesia: Menahan Hampir 200 Individu Berhubung Isu Kebakaran Hutan

Apa yang sedang berlaku: Indonesia telah menahan hampir 200 individu berhubung isu kebakaran hutan yang merentasi kepulauan itu. Jakarta telah mengerahkan beribu-ribu kakitangan untuk menyiasat punca utama yang menjadikan tanah tersebut hangus dan memusnahkan hutan pada kepulauan Sumatra dan Borneo.

Pada hari Isnin, pihak berkuasa mengatakan bahawa mereka telah menahan kira-kira 185 individu yang disyaki melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada kebakaran luar yang mencemarkan udara negara.

Isu kebakaran ini mula tercetus disebabkan pembakaran secara haram telah dilakukan bagi membersihkan tanah pertanian. Rentetan itu, kesan asap iaitu jerebu tersebut telah memasuki Asia Tenggara, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara negara jiran Indonesia.

Kenapa ini penting: Jerebu tebal di Borneo – di mana tahap kualiti udara telah merosot ke paras “berbahaya” di beberapa kawasan – Menurut syarikat penerbangan Garuda, perihal itu menyebabkan pembatalan kira-kira sedozen penerbangan pada hari Ahad lalu. Manakala, Rival Lion Air pula berkata kira-kira 160 penerbangan Borneo mereka telah terjejas pada hujung minggu.

Sementara itu, hampir 150,000 orang telah dirawat disebabkan jangkitan pernafasan berkaitan dengan jerebu.

Walaupun kebakaran hutan adalah masalah tahunan, namun keadaan tahun ini dilihat menjadi lebih teruk dan membimbangkan. Tambahan pula, penyebaran asap toksik tersebut telah

menyebabkan berlakunya ketegangan diplomatik antara negara jiran iaitu Malaysia dan Singapura.

Jerebu telah mendorong kualiti udara Singapura ke tahap yang tidak sihat untuk kali pertama sepanjang tiga tahun , bermula pada hujung minggu lalu. Malah, di Malaysia sekolah telah mula ditutup atas kebimbangan faktor kesihatan.

Apa selepas ini: Minggu lalu, Indonesia telah mula menutup operasi ladang-ladang yang terlibat bagi aktiviti kebakaran ini, dan memberi amaran kepada pemilik – termasuk firma yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura. Di mana mereka boleh dikenakan tuduhan jenayah sekiranya terdapat bukti melakukan pembakaran secara haram.

Antara kebakaran serius yang berlaku adalah pada kawasan tanah gambut, di mana ia sangat mudah terbakar apabila air dituras menjadi ladang pertanian.

-AFP