Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah menyangkal dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes yang dibuat pada laman LinkedIn berkenaan MAVCOM. Selaku pengawalselia – Dr. Nungsari Radhi, Pengerusi Eksekutif MAVCOM mempunyai kewajipan untuk membuat kenyataan secara bertanggungjawab serta berdasarkan fakta. Dalam konteks ini, pihak MAVCOM menegaskan perkara tersebut adalah tidak benar.
MAVCOM menyatakan bahawa sejak penubuhan 2016 lagi pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk memberi manfaat kepada pengguna dan pemain industri. Antaranya adalah:
- Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) memastikan pengguna penerbangan hanya membuat bayaran bagi perkhidmatan yang dipilih oleh pengguna sahaja
- Telah menghapuskan caj-caj tersembunyi seperti fi klia2
- Menetapkan fi pemprosesan bayaran tidak boleh dicaj secara berasingan daripada tambang asas tiket penerbangan
- Januari 2018 dan Ogos 2019, Suruhanjaya telah memberi lebih daripada 93 peratus Hak Trafik Udara (ATR) yang dipohon oleh syarikat penerbangan
- FlySmart, iaitu sebuah inisiatif yang berteraskan pengguna sebagai sebahagian daripada usaha Suruhanjaya untuk memperjuangkan hak pengguna dalam sektor penerbangan
Menurut Nungsari, mereka turut memperkenalkan proses permohonan pelesenan yang mantap yang memastikan hanya pemohon yang serius, berkebolehan dan bersedia untuk beroperasi sahaja dipertimbangkan. Selain itu, turut melindungi kepentingan pengguna penerbangan yang terjejas oleh kegagalan sebuah syarikat penerbangan yang lesennya diberikan sebelum penubuhan MAVCOM.
Berkenaan tindakan penalti kewangan, menerusi parameter Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] – ia untuk memastikan pemain industri sama-sama menghormati undang-undang dan peraturan negara, contoh kes yang terlibat adalah seperti AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang.
Terdapat pelbagai pihak berkepentingan dalam industri penerbangan di Malaysia, dan ia bukan sekadar satu pihak sahaja. Oleh itu, peranan Suruhanjaya adalah untuk memastikan bahawa kerja Suruhanjaya memberi manfaat kepada industri secara keseluruhan dan bukan mana-mana pemain industri yang tertentu. Kami bekerja ke arah matlamat tersebut dan akan terus berbuat demikian.