Artikel

Digi: MY Digital SME Ingin Perkasakan PKS

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah melancarkan MY Digital SME, sebuah program yang bermatlamat untuk melengkapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS atau ‘SME’) dengan alat dan kemahiran yang dapat membantu perniagaan mereka mengecapi pengaruh dunia dalam talian, lantas membolehkan mereka berkembang menjangkaui persempadanan Malaysia.

Dianjurkan melalui kolaborasi bersama SME Corp, Mahir Digital Bersama Google, AVANA Facebook Commerce, REV Asia dan Shopee, program tersebut dirumus sebagai bengkel praktikal yang membolehkan pemilik perniagaan dan usahawan mewujudkan pengaruh digital untuk perniagaan mereka seusai menjalani program tersebut, lantas mengorak langkah yang pertama dalam usaha untuk mendigitalkan perniagaan mereka.

Sehingga ke hari ini, lebih daripada 500 pemilik perniagaan dan usahawan telah memanfaatkan penganjuran dua bengkel pertama di Ipoh, Perak dan Kota Bahru, Kelantan.

Menerusi dua lagi bengkel yang telah dijadualkan, Ketua Pegawai Perniagaan Digi, Eugene Teh yakin bahawa MY Digital SME mampu memperkasakan lebih daripada 1000 PKS Malaysia untuk mendigitalkan perniagaan masing-masing, lalu mendukung pertumbuhan digital dalam segmen PKS.

Mahir Digital Bersama Google mengongsikan amalan yang terbaik untuk menonjolkan perniagaan anda dalam ‘Google Search’ dan ‘Google Maps’; AVANA Facebook Commerce pula menganjurkan bengkel yang menjelaskan mengenai cara pemilik perniagaan boleh mencapai pelanggan dengan lebih efektif di media sosial; REV Asia mempersembahkan topik mengenai pemasaran kandungan dan pengukuhan pengaruh jenama; serta Shopee memberikan pengenalan ke atas dunia e-dagang menerusi platform mereka.

Para peserta juga dapat belajar daripada pakar-pakar Digi tentang manfaat transformasi digital bagi entiti perniagaan, dan cara untuk mengambil langkah yang pertama. Sesi tersebut mengetengahkan solusi-solusi yang tersedia untuk diterokai oleh entiti-entiti perniagaan yang dapat memangkin produktiviti serta keefisienan perniagaan mereka.

Bengkel-bengkel MY Digital SME yang berbaki akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah (21 September) dan Kuching, Sarawak (5 Oktober).

Maklumat lanjut mengenai cara untuk menyertai program MY Digital SME boleh didapati di laman web Digi.