Artikel

Bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Dihukum Penjara Lima Tahun dan Didenda RM9 Juta Kerana Dagangan Orang Dalam

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM9 juta terhadap bekas timbalan pengerusi eksekutif sebuah syarikat awam tersenarai atas kesalahan dagangan orang dalam, selepas perbicaraan penuh yang melibatkan 24 saksi dari pihak pendakwa dan pembela.

Dato’ Ramesh a/l Rajaratnam, 55, bekas timbalan pengerusi eksekutif Malaysian Merchant Marine Bhd (MMM), didapati menjual sebanyak 10,200,800 saham MMM ketika memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan cadangan pengurangan penarafan kredit oleh Malaysia Rating Corporation Bhd (MARC) bagi Sekuriti Hutang Islam Al-Bai Bithaman Ajil, yang telah diumumkan kepada orang awam oleh MARC pada 4 Februari 2010.

Ramesh juga didapati memiliki maklumat material bukan awam yang berkaitan dengan klasifikasi MMM sebagai syarikat PN17. Pelupusan saham MMM telah dibuat pada 11 Januari 2010, 19 Februari 2010 dan 22 Februari 2010.

Dagangan orang dalam merupakan kesalahan di bawah seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.