Artikel

Apple Mahukan Pemain Permainan Kekal Melanggan Bersama Apple Arcade

Perkhidmatan permainan video baharu yang akan dilancarkan 20 September ini akan dikenakan harga RM19.90 bulanan, dalam usaha terbaru syarikat gergasi teknologi ini untuk memacu pendapatan langganan.

Dengan harga ini, ia akan memberikan akses kepada kira-kira 100 judul permainan berbeza.

Namun begitu, penganalisis teknologi berpendapat tawaran ini sukar untuk diterima pasaran kerana pengguna sudah terbiasa dengan memuat turun permainan mudah alih secara percuma di kedai-kedai aplikasi seperti Google Play dan Apple App Store.

Apple Arcade akan menampilkan ratusan permainan baharu dan eksklusif, dan langganan boleh dikongsi dengan sehingga enam ahli keluarga di seluruh perantinya, termasuk di iPhone, menurut Apple.

Disebabkan ini adalah langganan berbayar, Apple Arcade tidak akan mempunyai iklan atau menawarkan pembelian-tambahan dalam aplikasinya, seperti mana lazimnya terdapat pada permainan percuma.

Melihat kepada strategi Apple pada ketika ini, secara jelasnya Apple Arcade ini adalah satu landskap ‘gamble‘ yang di mainkan oleh pihak Apple. Hal ini kerana tiada sebarang jaminan bahawa pihak Apple mampu menambat perhatian pemain permainan dengan harga langganan sedemikian.