Artikel

MAVCOM Kenakan Penalti Kewangan Terhadap AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang

Apa yang sedang berlaku: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) telah mengenakan penalti kewangan terhadap AirAsia Berhad (AirAsia), AirAsia X Berhad (AirAsia X) dan Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang), yang merupakan sebuah subsidiari di bawah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB). 

AirAsia, AirAsia X dan MA Sepang telah mengesahkan menerima surat daripada Suruhanjaya berhubung pengenaan penalti kewangan tersebut pada Jumaat, 6 September 2019. 

Kenapa ini penting: Tindakan ini adalah salah satu usaha MAVCOM untuk melindungi pengguna daripada caj-caj yang tidak adil dan tidak patut dikenakan oleh syarikat-syarikat penerbangan. Penalti Kod Pelindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) telah dikenakan ke atas AirAsia dan AirAsia X kerana kedua-dua syarikat penerbangan ini telah mengenakan caj bagi kad kredit, kad debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, yang berasingan daripada tambang asas. 

Manakala, MA Sepang telah dikenakan penalti kewangan kerana tidak memenuhi beberapa sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan yang ditetapkan oleh MAVCOM pada suku pertama 2019. 

Apa selepas ini: Dengan mengambil kira jumlah pengguna penerbangan seramai 100 juta penumpang setahun, Suruhanjaya telah menetapkan MACPC dan Rangka Kerja QoS Lapangan Terbang sebagai suatu cara untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dalam industri penerbangan Malaysia. 

Tindakan yang dikenakan ini juga bertujuan untuk mendorong industri penerbangan di Malaysia ke arah peningkatan tahap perkhidmatan, integriti dan ketelusan, selaras dengan objektif jangka panjang MAVCOM untuk industri.