Artikel

KKM Akan Terima Peruntukan Lebih Dalam Belanjawan 2020?

Susulan sebuah ucapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan di satu majlis baru-baru ini, terdapat desas-desus bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mungkin akan mendapat perhatian yang lebih khusus dalam Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan bulan depan.

Menurut Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng, berkata antara 2010 dan 2018, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM193.6 bilion untuk penyediaan perkhidmatan kesihatan.

Seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, Kementerian Kesihatan telah menerima peruntukan sebanyak RM28.7 bilion, iaitu kira- kira 9% daripada jumlah keseluruhan Belanjawan 2019. 

Peruntukan RM28.7 bilion bagi tahun 2019 untuk Kementerian Kesihatan merupakan peningkatan sebanyak hampir 8% berbanding peruntukan yang diterima Kementerian Kesihatan pada tahun 2018. Ini menjadikan Kementerian Kesihatan antara kementerian yang terbesar dari segi peruntukan.

Perbelanjaan tersebut membiayai penyediaan perkhidmatan kesihatan asas seperti kebersihan, keselamatan makanan dan vaksinasi. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, secara purata seorang rakyat Malaysia pada tahun 2019 mempunyai jangka hayat selama 74.5 tahun.

Tumpuan Kerajaan Persekutuan ialah untuk memastikan kemudahan dan kelengkapan perubatan yang sedia ada dapat berfungsi dengan baik. Perihal ini secara langsung akan membabitkan kos yang tinggi dan tidak mungkin dapat disempurnakan dalam satu tahun tetapi suatu permulaan harus dilakukan menerusi peruntukan yang disediakan.