Artikel

Modi Tweet Dalam Bahasa Malaysia

Usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala, Perdana Menteri India Narendra Modi telah tweet dalam Bahasa Malaysia mengenai pertemuannya bersama Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Telah mengadakan pertemuan yang baik dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.

“Kami berbincang mengenai hubungan dua hala antara negara kami dan cara mempelbagaikan kerjasama,” Modi berkata melalui akaun Twitter beliau.

India merupakan antara rakan perdagangan terbesar Malaysia. Hubungan dua hala India-Malaysia bergantung rapat kepada industri pertanian, perkhidmatan, dan juga teknologi. Masa depan India-Malaysia akan diperkukuhkan lagi dengan isu tenaga kerja, pemindahan teknologi, dan penambah baikan isu diplomatik serantau.

Namun begitu, ketegangan diplomatik India-Pakistan telah menyebabkan Malaysia menyuarakan pendapat tentang isu semasa di rantau Asia Selatan. Sebelum ini, Wisma Putra telah menyatakan hasrat Malaysia untuk India dan Pakistan mencari penyelesaian bagi meleraikan ketegangan diplomatik antara kedua negara itu.

Ini kerana, Pakistan dan India merupakan dua negara penting untuk Malaysia terus bekerjasama di masa hadapan tentang isu-isu ekonomi dan diplomatik.