Artikel

SKMM – Kerajaan Memperuntukkan RM1 Bilion Bagi Pelaksanaan NFCP

Apa yang sedang berlaku: Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kerajaan akan melaksanakan Pelan Fiberisasi dan Sambungan Kebangsaan (NFCP) dengan peruntukan awal RM1 bilion.

Kenapa ini penting: Tujuan pelaksanaan ini adalah untuk membiayai projek infrastruktur yang terpilih bagi menyokong sasaran NFCP, termasuklah dengan memperluaskan liputan mudah alih dan menyediakan penyambungan serat ke premis.

SKMM juga menyatakan NFCP bukanlah projek mega tetapi ia merupakan rancangan yang diperlukan bagi penetapan strategi, sasaran serta tindakan selanjutnya. Inisiatif ini yang akan memastikan ketersediaan sambungan yang kukuh, luas, berkualiti tinggi dan melangkaui digital kepada negara.

Kenapa sekarang: Pelaksanaan NFCP ini dilihat berdasarkan dua tonggak utama. Pertama adalah satu siri projek infrastruktur yang sama ada akan dibiayai melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) atau melalui cara komersil oleh pemegang lesen Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

Kedua pula, ia melibatkan penetapan dasar yang betul untuk memudahkan pelaksanaan infrastruktur di seluruh negara.

SKMM juga berkata NFCP terdiri daripada pelbagai projek infrastruktur, termasuklah projek komersil yang dibiayai oleh pemegang lesen sendiri dan projek yang akan menggunakan teknologi yang berbeza.

Apa selepas ini: Pelan lima tahun tersebut akan bermula pada tahun ini. Di mana ia akan menyediakan sambungan digital di seluruh negara yang lebih berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh semua rakyat Malaysia di seluruh bandar dan luar bandar.