Artikel

Grab Malaysia: Lebih 170,000 Pemandu Jana Pendapatan Tambahan Lebih 5% Setiap Minit Hasil Model Berasaskan Usaha

Lebih 170,000 rakan pemandu Grab Malaysia kini meraih peningkatan pendapatan lebih daripada 5% bagi setiap minit mereka bertugas menerusi pelaksanaan struktur pendapatan baharu berasaskan usaha. Model yang diperkenalkan melalui penyertaan sukarela ini memberi pampasan bagi masa dan jarak pengambilan penumpang bermula dari saat tempahan diterima.

Langkah tersebut jelas Grab Malaysia pada sidang media khas hari ini, dilaksanakan dengan menggantikan komisen tetap kepada Yuran Perkhidmatan Grab (GSF) boleh ubah tanpa menaikkan kadar tambang sedia ada kepada penumpang. Yang mana ia dilaksanakan dibawah ujian Proof of Concept (POC) sejak Ogos 2024.

Menurut Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor, pendekatan baharu ini dirangka hasil maklum balas rakan pemandu bagi mengatasi isu pemanduan tanpa bayaran ke lokasi pengambilan yang jauh. Maka pemberian pampasan penuh bermula dari penerimaan tempahan dilihat dapat membantu mengimbangi penawaran dan permintaan pasaran dengan lebih baik.

Selain penambahbaikan kadar pampasan, Grab turut melancarkan penyata pendapatan yang direka bentuk semula bagi menawarkan paparan terperinci dan telus mengenai pendapatan bersih mingguan. Susun atur baharu ini memudahkan rakan pemandu menyemak butiran tugasan, bonus, insentif, serta pelarasan mingguan seperti bayaran tambahan sekiranya masa perjalanan melebihi anggaran awal. Kesemua tip penumpang dan insentif yang diperoleh juga diserahkan 100% kepada rakan pemandu.

Selanjutnya Grab juga secara berterusan memantau dan mengekalkan kawalan keselamatan platform bagi mengelakkan pembatalan berulang dan mengurangkan perjalanan tanpa penumpang demi menjamin mutu perkhidmatan bersama pengguna. Inisiatif ini membuktikan komitmen penyedia dalam memelihara fleksibiliti ekonomi gig serta memastikan ekosistem seru pandu kekal mampan, selamat dan berpatutan untuk semua rakyat Malaysia.