Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Mohamed Said, dimaklumkan telah meninggal dunia pada jam 6.10 petang pada hari ini di usia 91 tahun.
Pemergian tokoh sastera tersohor Malaysia ini dimaklumkan menerusi hantaran media sosial keluarganya selepas Allahyarham dilaporkan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.
A. Samad Said untuk pengetahuan umum dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara Keempat pada tahun 1986. Dan sepanjang lebih 7 dekad berkarya dalam bidang penulisan kreatif, A Samad Said meninggalkan khazanah sastera yang amat bernilai termasuk novel ikonik Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau dan Hujan Pagi, selain puisi,cerpen, esei serta drama.
Karya-karya beliau yang sarat dengan nilai kemanusiaan, suara nurani rakyat serta keteguhan bahasa Melayu telah mengangkat martabat kesusasteraan tanah air ke persada antarabangsa. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat dunia sastera dan budaya Malaysia, namun legasi pemikiran serta sumbangannya akan terus hidup dalam ingatan masyarakat.